Friday, January 28, 2011

Supermokh.

Jika England mempunyai Bobby Charlton dan Brazil mempunyai Pele, kita di Malaysia mempunyai Supermokh. Siapa yang tidak kenal dengan lagenda bola sepak tanah air kita iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur merupakan bekas penyerang/pemain tengah menyerang untuk pasukan Selangor dan pasukan Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pemain terbaik Asia sekitar tahun 1970 sehingga1980-an.

Bersama-sama dengan penjaga gol R Arumugam, pertahanan Santokh Singh dan Soh Chin Aun, pemain tengah Reduan Abdullah dan Shukor Salleh dan temannya di barisan hadapan iaitu Isa Bakar, pasukan Selangor dan pasukan Malaysia merupakan antara pasukan yang terkuat di rantau Asia.

 Pada tahun 1974, beliau mewakili Malaysia menentang pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan menjaringkan kedua-dua gol pada perlawanan itu sekaligus gol kemenangan untuk pasukan Malaysia. Empat tahun kemudian pada tahun 1978, beliau sekali lagi mewakili Malaysia menentang pasukan kebangsaan England yang berakhir dengan kesudahan seri satu sama hasil jaringan Mokhtar Dahari dan jaringan Paul Mariner.

Beliau juga pernah mewakili pasukan pilihan Selangor pada Januari 1982 menentang pasukan Boca Juniors daripada Argentina yang diketuai oleh legenda bola sepak duni, Diego Armando Maradona. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan memihak kepada pasukan Boca Juniors dengan jaringan 2-1.

 Beliau bersara pada tahun 1986 setelah perlawanan akhir Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan Selangor dan beliau sendiri menjadi pemain terbaik perlawanan. Beliau juga memberikan jersi no 10 beliau kepada Raja Muda Selangor ketika itu. Pada tahun 1987, beliau keluar daripada kancah persaraan dan bermain untuk Selangor untuk satu musim lagi. Pada Januari 1988, beliau menyertai pasukan Kwong Yik Bank dan telah berjaya memenangi Piala Selangor pada tahun tersebut.

Walaupun tidak begitu dikenali di peringkat antarabangsa, beliau telah menjaringkan 125 gol untuk pasukan Malaysia  dan menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan Malaysia setakat ini.

Beliau meninggal dunia pada 11 Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit motor neurone disease di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) pada pukul 8:25 pagi. Jasad beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Bukit Permai.

Kehilangan beliau umpama jatuhnya sebutir permata yang begitu berharga ke dasar laut, hampir mustahil untuk ditemui kembali.


Di bawah ini disertakan video dokumentari yang menceritakan tentang kisah hidup beliau.

 
Mokhtar Dahari Documentary Part 1


 
Mokhtar Dahari Documentary Part 2


Mokhtar Dahari Documentary Part 3

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...